ahlan wasahlan

Monday, March 19, 2012

Ujian Itu Keuntungan

Ujian Itu Keuntungan



Mengharapkan keredhaan Allah bukanlah suatu yang mudah buat mana-mana manusia yang benar-benar menuntut kasih dan sayang dari sang pencipta. Keredhaan Allah itu adalah hak untuk setiap manusia mendapatkannya, namun ia hanya benar-benar layak untuk hamba-hamba yang runtun hati dan jiwanya hanya untuk diserahkan kepada Allah.
Setiap manusia mahu mendapatkan yang terbaik untuk hidup mereka. Ramai yang sedar bahawa hidup di dunia ini hanyalah sementara sebelum manusia dihidupkan semula di akhirat kelak. Namun buat insan yang benar-benar menuntut keredhaan Allah jalan perjuangannya tidak akan dihiasai dengan perkara yang indah, sebaliknya Allah akan mengujinya dengan pelbagai ujian dan dugaan yang bakal menguji keikhlasannya dalam perjuangan.

Apakah perjuangan yang dimaksudkan?

Perjuangan itu begitu luas konsep dan maknanya, apatah lagi perjuangan adalah matlamat yang tersemat di hati para syuhada yang inginkan syahid dalam setiap pekara yang dilakukan. Meskipun begitu, menuntut ilmu juga ialah perjuangan yang perlu dipikul oleh setiap manusia yang bergelar pelajar. Tidak kiralah seseorang itu adalah pelajar sekolah rendah ,menengah atau sudah begelar mahasiswa sekalipun. Semua itu adalah termasuk dalam golongan orang yang sedang berjuang mencari martabat ilmu dan pastinya ia mendapat tempat yang tinggi di sisi Allah.

Tewas sebelum berjuang?

Di alam mahasiswa khususnya , tidak ramai yang benar-benar mencapai kejayaan yang sebenar. Setiap pejuang yang begelar mahasiswa akan diuji sepenuhnya dalam liku-liku perjalanannya sepanjang menuntut ilmu. Ujian yang datang dari Allah itu akan hadir dalam belbagai-bagai bentuk ujian antaranya ialah diuji dengan kesempitan wang di universiti, diuji dengan bebanan tugasan yang banyak, diuji dengan hati yang lalai kepada cinta ,ada juga yang diuji dengan kesakitan, kematian insan tersayang dan pelbagai lagi bentuk ujian yang diturunkan Allah kepada hamba-hambaNya.



Setiap insan yang diuji oleh Allah dengan ujian-ujian tadi selalunya akan merungut, berputus asa malah ada yang mengambil jalan mudah dan singkat bagi menghadapi setiap ujian tadi dengan perkara yang dilarang syarak. Kekurangan wang misalnnya membuatkan seorang mahasiswa yang tidak berfikir panjang medapatkan wang dengan cara yang mudah dan singkat seperti menipu , melabur wang ke dalam pelaburan yang haram dan ada juga yang mengambil jalan pintas dengan sanggup mengorbankan diri menjadi pemuas nafsu kepada manusia-manusia yang kering kontang iman dan ketaqwaannya. Contoh manusia seperti inilah yang dikatakan tewas sebelum berjuang biarpun di atas pentas konvokesyen nanti gred yang diperolehi mendapat anugerah dari pihak universiti. Semua itu bukan lagi bermakna dan dianggap kejayaan kerana manusia seperti ini sudah pun tewas di pertengahan jalan perjuangannya.
Mengapa aku diuji?

" arghh, kenapalah tuhan tidak adil kepada aku"....kenapa aku diuji sebegini sedangkan manusia lain tidak..tension betul.."

Sememangnya buat jiwa dan hati yang tidak cekal dengan ujian yang diberikan akan terus menyalahkan fitrah dan norma kehidupan. Lebih parah ada yang menyalahkan Allah sebagai pembeban kepada hidup mereka. Manusia diuji kerana dirinya sudah mendapat perhatian di pandangan Allah, tetapi pandangan yang bagaimana? Pandangan itu ialah pandangan kasih dan sayang pencipta kepada hambanya. Beruntunglah manusia yang sering diuji kerana hidupnya mendapat perhatian dari Allah yang maha mengatahui mengapa ujian itu diberikan.

Bayangkan anda dihimpunkan bersama-sama seluruh penduduk dunia di padang masyar, dalam keramaian manusia tadi tiba-tiba nama anda dipanggil Allah untuk menjadi tetamu syurga. Beruntunglah si pemilik nama tadi yang untungnya tiada tandingan walaupun seberat bulan , matahari dan bumi. Begitulah juga dengan konsep ujian tadi, manusia yang diuji adalah manusia yang mendapat perhatian dari Allah. Dalam berbilion penduduk bumi tetapi hanya satu nama yang mendapat perhatian untuk diuji dengan ujian yang tertentu. Bukankah itu adalah satu keuntungan buat manusia yang diuji tadi? Dengan ujian tadi Allah akan mengangkat martabat hambanya jika dia ikhlas dalam menempuh bebanan yang diamanahkan kepadanya.Sebagai seorang hamba juga kita perlu ingat, ujian yang diterima oleh kita tidak akan sama dengan insan yang lain. Jika kita merasa diri sudah dipikul dengan ujian yang berat sebenarnya masih ramai yang diuji dengan ujian yang hebat dan berat.

Pimpinlah Daku

"Mereka itulah yang mendapat petunjuk dari Tuhan mereka,dan merekalah orang-orang yang beruntung" Surah Al-Baqarah 2:5

Hayatilah ayat diatas tadi, sesungguhnya janji Allah adalah benar-benar belaka dan tiada dusta. Allah menjanjikan buat hamba-hambanya yang beramal soleh dengan keuntungan yang tiada nilainya di bumi ini.
Buatmu teman seperjuangan,andai sebelum ini hatimu sering mengeluh dengan ujian yang diturunkan kepadamu maka muhasabahlah segera niatmu dalam menuntut ilmu.
Apa yang kita cari sebenarnya semasa menutut ilmu? wanita, kedudukan,kekayaan atau sebaliknya? Apakah kita tidak merasa untung bila mendapat perhatian dari Allah? Apakah kita akan mudah menyerahkan segalanya sebelum kita benar-benar menamatkan perjuangan yang sebenar di dunia ini. Bukan kita sahaja diuji, sebaliknya setiap manusia akan diuji dengan bemacam-macam jenis ujian yang berbeza. Hanya masa dan takdir yang akan menentukan samada kita ini benar-benar seorang pejuang atau sebaliknya. Renungkan...









sumber : iluvislam.com
Read more...

Thursday, March 8, 2012

Tanggungjawab Kita

Sebagai manusia yang bergelar muslim mempunyai peranannya di atas muka bumi ini, apakah peranan itu? Peranannya adalah memakmurkan bumi ini dengan syariat Allah. Kita lihat bagaimana pada zaman kita pada hari ini, jauhnya kita telah tersesat meninggalkan suruhan Allah dalam kehidupan kita.

Semakin jauh kita melangkah meninggalkan Allah dalam kehidupan kita, semakin jauh kita dengan kebenaran. Memang tidak dapat dinafikan, islam itu agama yang syumul dan menyeluruh serta lengkap daripada semua aspek kehidupan kita, tetapi bagaimana pula apabila kita berbicara tentang muslim, yakni penganutnya.





Itulah tanggungjawab kita

Mengembalikan muslim kepada kehidupan islam sebenar, itulah tanggungjawab kita semua, tetapi bagaimana? Apabila berbincang perkara ini, iaitu perkara untuk mengembalikan islam supaya ianya tertegak di atas muka bumi ini, ramai di kalangan manusia merasakan, kita perlu mendirikan sebuah Negara, mempunyai perlembagaan islam, menjalankan hukum qisas, hudud, takzir, baru boleh menjalankan syariat Allah dalam kehidupan kita. Begitu kompleknya pemikiran Tidak semestinya begitu.



Menyumbang ke arah kebangkitan islam

Menyumbang ke arah itu, tidaklah serumit yang selalu orang fikirkan, kadang – kadang hanya dengan mengutip sampah, juga boleh menyumbang ke arah kebangkitan islam, Hanya dengan menjaga lidah, percakapan , pergaulan juga meyumbang kearah yang sama, Nampak? hanya dengan mengikut perintah Allah yang sudah terkandung dalam al –quran, serta mengamalkan sunnah nabi-Nya sangat – sangat menyumbang ke arah kebangkitan islam.

Islam itu tetap akan bangkit

Itulah janji nabi dalam hadisnya, ruginya kita sebagai seorang islam apabila tidak menjadi penyumbang kepada islam, jikalau kita menjatuhkan agama islam sekalipun, itulah adalah janji nabi, islam tetap akan naik, sesiapakah yang paling untung dalam hal ini? Dan siapakah yang rugi dalam hal ini? Kemenangannya sudah ada didepan mata, tetapi siapakah yang mahu mengejarnya? Kitalah yang patut menggapainya

Dalam kehidupan kita sebagai pelajar

Tanamkan azam untuk bangkitkan islam dalam pelusuk kehidupan kita, niatkan pembelajaran yang kita lalui selama ini untuk menjadi penyumbang ke arah itu, bukan semudah berbicara tentang semua ini, tetapi pada masa yang sama juga ianya bukan mustahil untuk melaksanakannya. Hanya perlu ada kemahuan dan juga ikhtiar, serta istiqomah dalam perjuangan.

Read more...

Friday, March 2, 2012

Ya Allah, Selamatkanlah Kami, Anak-Anak Kami Daripada Ain Yang Memudaratkan




oleh: Ustaz Zahazan Mohamed ( zahazan@telagabiru.net.my)

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Qalam ayat ke-51, maksudnya: “Dan sesungguhnya orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan renungan tajam mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), yang tatkala mereka mendengar al-Quran lalu berkata: ‘Sungguhnya dia (Muhammad) itu benar-benar orang gila."

Menurut kebanyakan pentafsir al-Quran, termasuk Ibn Kathir, Ibn Athiyyah, al-Qurtubi, al-Izz bin Abd Salam dan al-Suyuti, masing-masing mentafsirkan ayat kedua terakhir daripada surah al-Qalam ini sebagai usaha jahat pihak Quraisy untuk menghalang Nabi s.a.w. daripada menyampaikan dakwahnya kepada penduduk Makkah. Ini disebabkan perkataan “Layuzliqunaka” itu berasal daripada kata kerja Zaliqa ataupun Zalaqa yang membawa makna tergelincir daripada sesuatu tempat (Mukhtar al-Sihah dan al-Qamus al-Muhit).

Menurut Ibn al-Jauzi sepertimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas, Mujahid dan lainnya, kata kerja ini kemudiannya digunakan dalam konteks yang lebih luas merujuk kepada sikap “memandang atau renungan tajam dengan penuh kebencian sehingga menyebabkan kemudaratan”. Ayat ini menurut Ibn Abbas menjadi dalil bahawa ain ataupun pandangan mata yang tidak dikawal oleh seseorang yang memiliki pengaruh itu boleh mengakibatkan bahaya.

Sehubungan dengan tafsiran ini, al-Imam Ibn Athiyyah al-Andalusi, pakar tafsir dari Andalus menjelaskan (sebagai contoh) dalam tafsir beliau, al-Muharrar al-Wajiz bahawa antara usaha jahat yang dilakukan oleh Musyrikin terhadap Nabi adalah mencari seseorang yang terkenal mempunyai pandangan mata yang berpengaruh untuk menganiayai Nabi. Lelaki yang berasal daripada keturunan Asad ini berupaya memudaratkan makhluk seperti unta hanya dengan menggunakan pandangannya.



Biasanya beliau akan menahan diri daripada makan selama tiga hari lalu pada hari berikutnya beliau akan merenung unta dengan kekuatan pada matanya sehingga menyebabkan unta itu mati di tempat kejadian. Mereka merancang melakukan perkara yang sama kepada Nabi s.a.w. tetapi Allah s.w.t. memelihara Baginda, sesuai dengan janji-Nya dalam surah al-Ma’idah ayat ke-67, maksudnya: “Allah jualah yang akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.”

Penjelasan lanjut maksud bahaya yang dikandungkan oleh mata ini terdapat banyak hadis yang menerangkannya. Muslim meriwayatkan daripada Ibn Abbas, apabila Asma’ bt Umais r.ha. bertanya kepada Nabi adakah anaknya, Ja’far ditimpa ain (bahaya kerana pandangan), maka Nabi s.a.w. menjawab, maksudnya: “Ain itu benar-benar wujud. Jika ada sesuatu yang mendahului qadar, maka ainlah itu. Dan apabila kalian diminta untuk mandi, maka dia hendaklah melakukannya.”

Menurut Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya, ringkasan Tafsir Ibn Kathir yang diberi nama Sahih Tafsir Ibn Kathir, seseorang yang telah diketahui menyebabkan kemudaratan oleh pandangannya terhadap seseorang yang lain, hendaklah dia disuruh mandi. Air yang telah digunakan olehnya untuk mandi hendaklah ditadah dan dimandikan dengannya pula akan mangsa. (Rujuk Sahih Tafsir Ibn Kathir terjemahan Pustaka Ibn Kathir, Jakarta, Indonesia, cet. Feb 2009, jld. 9, hlm. 246, di bahagian nota kaki)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, daripada Umamah bin Sahl bin Hanif r.a. bahawa bapanya pernah pergi bersama Rasulullah s.a.w. menuju ke Makkah hingga mereka melalui sebuah aliran air di Khirar berdekatan dengan Juhfah. Sahl bin Hanif telah mandi dan dia merupakan seorang lelaki berkulit putih yang cantik fizikalnya. Amir bin Rabi’ah, saudara kepada bani ‘Adi bin Ka’ab melihatnya ketika sedang mandi. Maka dia pun berkata: “Tidak ada yang kulihat sepertinya hari ini, tidak sedikit pun kulit yang ditutupi.” Kata-katanya itu mengakibatkan Sahl terjatuh ke dalam air dan kelihatan gelembung udara dari dalam air tempat dia mandi (menunjukkan bahawa dia telah tenggelam lemas). Saya telah memanggilnya sebanyak tiga kali tetapi tiada jawapan. Saya segera mendapatkan Nabi s.a.w. dan memberitahu tentang kejadian itu. Baginda bersegera ke tempat kejadian dan saya dapat melihat betis Nabi yang putih. Kemudian Rasulullah memukul dada Sahl yang pengsan lalu berdoa:

Maksudnya: “Ya Allah! Selamatkanlah dia daripada panasnya, dinginnya dan rasa sakitnya (penyakit disebabkan ain).” (Riwayat Ahmad no. 16110, Ibn Abi Syaibah no. 23594)

Baginda lantas bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang kalian melihat pada saudaranya atau pada dirinya atau daripada hartanya sesuatu yang mengkagumkan, maka hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya, kerana sesungguhnya ain itu benar!” (Riwayat Ahmad dalam al-Musnad, no. 15700)

Nabi s.a.w. pernah mendoakan untuk kedua cucu Baginda s.a.w. dengan doa

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan untuk kalian berdua dengan kalimah Allah yang sempurna daripada setiap syaitan, binatang berbisa dan daripada ain yang membahayakan. (Riwayat al-Bukhari no. 3371, Abu Daud no. 4739 dan al-Tirmizi no. 2201 )

Kemudian Baginda bersabda maksudnya: “Demikianlah dahulunya Ibrahim a.s. memohon perlindungan daripada Allah s.w.t. untuk kedua-dua puteranya Ismail dan Ishaq a.s. (Riwayat Ahmad no. 2146)

(Sila rujuk kepada kitab 101 Doa daripada Hadis-Hadis yang Sahih, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd., hlm. 89-90 bagi yang ingin mengetahui lanjut tentang kaedah beramal)



sumber: SOLUSI

Read more...

Kisah Yang Boleh Menginspirasikan Para Pendakwah



Seorang Sheikh telah mendapat jemputan ceramah agama dari sebuah perkampungan yang letaknya sejauh 400km. Untuk tidak menghampakan penganjur dan penduduk setempat, maka Sheikh tersebut pun bersetuju untuk datang ke perkampungan itu.

Sampai sahaja di perkampungan tersebut, beliau telah disambut oleh seorang lelaki yang merupakan penganjur kepada program ceramah yang diadakan. Si Sheikh agak terkejut dengan penampilan lelaki itu. Bukan sahaja pakaiannya tidak sesuai dengan majlis ilmu, malah tangannya pula asyik memegang puntung rokok yang berasap. Si Sheikh dapat mengagak latar belakang penduduk perkampungan itu dengan melihat kepada peribadi lelaki penganjur itu. Jika si penganjur majlis agama pun sudah macam itu, tentu agaknya penduduk lain lebih kurang macam itu atau lebih teruk lagi.

Betullah anggapan si Sheikh itu. Tidak sampai 15 minit ceramah disampaikan, penduduk yang hadir dalam majlis ilmu tersebut mula bercakap sesama sendiri. Ada yang tidur. Ada yang keluar dan masuk. Dan malah ada yang mula menghisap rokok. Situasi ini amat tidak menyenangkan si Sheikh itu. Sudahlah datang dengan memandu sejauh 400km untuk memberi ceramah, begini pula layanan para penduduk kepada beliau.

Selesai ceramah, si Sheikh pun pulang dengan sedikit hampa. Dalam hatinya berkata, “selepas ini memang aku tak datang dah ke sini…”

Setahun berlalu.



Tiba-tiba si Sheikh itu menerima panggilan dari seorang lelaki untuk menjemput beliau untuk memberi ceramah. Suara dan gaya percakapan lelaki tersebut dapat dicam oleh si Sheikh itu. Lelaki yang sama yang menjemput beliau ke perkampungan yang terletak 400km itu. Sheikh tersebut masih ingat.

Walaupun Sheikh itu telah mengatakan bahawa beliau tidak akan lagi ke kampung itu kerana terlalu jauh, namun jauh di sudut hatinya mengharapkan ada perubahan selepas setahun berlalu. Si Sheikh itu pun bersetuju untuk hadir memenuhi jemputan ceramah agama tersebut.

Sampai sahaja di kampung itu selepas pemanduan sejauh 400km, lalu Sheikh itu disambut oleh lelaki yang menelefon beliau dengan mesra. Rupa-rupanya lelaki tersebut masih tidak berubah. Masih dengan penampilan seperti setahun yang lalu dan juga dengan rokok di tangannya. Si Sheikh menguatkan semangat beliau untuk memberikan ceramah.

Selepas 20 minit ceramah, perkara yang sama berlaku. Iaitu ada bercakap sana-sini. Ada yang tidur. Ada yang mundar-mandir di dalam majlis ilmu dan ada juga yang menghisap rokok. Tidak berubah dari tahun yang lalu. Si Sheikh berasa sedikit kecewa namun ceramah tetap diteruskan demi untuk menyampaikan dakwah.

Seperti biasa, selepas ceramah lalu diadakan sesi soal-jawab. Hanya 3 soalan diajukan. Ini menggambarkan betapa tidak berminatnya penduduk tersebut dengan majlis ilmu yang beliau telah sampaikan. Mengikut kebiasaan, biasanya di mana-mana pun beliau berceramah, banyak soalan diajukan dan ia menandakan betapa seronoknya pendengar dengan majlis ilmu. Tetapi di sini hanya 3 sahaja.

Walaupun agak kecewa dengan layanan penduduk terhadap beliau yang datang dari jauh, namun setelah membaca salah satu surat dari pendengar yang mengajukan soalan, kekecewaan beliau terubat. Beliau kembali semakin bersemangat dan tersenyum. Kandungan surat itu berbunyi:

“Sheikh, demi ALLAH, saya tidak pernah meninggalkan walau satu hari pun solat sunnat Witir sejak setahun lepas selepas saya mendengar Sheikh menceritakan tentang solat Witir dalam ceramah yang tuan Sheikh sampaikan tahun lalu.”

ALLAHU AKBAR!

Selepas peristiwa itu, si Sheikh cuba untuk membuangkan perasaan kecewa atau hampa akibat dari layanan para pendengarnya. Mengingati peristiwa tersebut membuatkan beliau sentiasa bersemangat untuk menyampaikan dakwah walau sejauh mana pun tempat itu dan bagaimana pun layanan masyarakat setempat.

Ternyata, dalam ramai-ramai orang kampung itu, walaupun majoriti tidak memberikan perhatian, namun di sana tentu ada orang yang menyambut seruan dakwah. Kalau tidak ramai, seorang pun sudah cukup. Memang suatu yang menggembirakan buat pendakwah jika mengetahui apa yang disampaikannya diamalkan oleh para pendengar yang hadir.

Kisah di atas cuma secuit contoh dari masyarakat yang boleh diambil iktibar dan pengajaran. Sudah tentulah kisah-kisah besar dari para Nabi, Rasul dan para pejuang yang memperjuangkan agama ALLAH sentiasa menjadi pedoman ampuh buat kita semua dalam terus bersemangat mencari redha ALLAH melalui usaha dakwah.

Dan hadith dari Abu Mas`ud `Uqbah bin `Amr al-Ansori al-Badri radhiAllahu `anhu ini sentiasa menjadi motivasi dan inspirasi besar buat para pendakwah untuk terus menyampaikan dakwah, iaitu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda:

“Barangsiapa yang memberi petunjuk kepada kebaikan maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya”

(HR Muslim)

Dan jika tiada langsung yang menyahut seruan dakwahmu wahai pendakwah, jangan bersedih dan layu semangat, kerana ALLAH sentiasa melihat usahamu dan pasti akan membalasinya.

ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman:

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ

Maksudnya: ”Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya.”

(Surah al-Zalzalah, ayat ke-7.)

Sebagaimana kisah di atas telah memberi inspirasi buat saya, saya berharap kisah ini bermanfaat juga buat tuan/puan yang membacanya, khususnya buat para pendakwah. Dan kena ingat, kita semua adalah pendakwah.

Sekadar menyampaikan,

Shahmuzir Nordzahir

muzir.wordpress.com

2 Mac 2012.

(Kisah di atas saya perolehi dari Ustadz Syed Norhisyam dalam majlis Konvensyen Fiqh 2012, PWTC)

Read more...