ahlan wasahlan

Friday, March 2, 2012

Ya Allah, Selamatkanlah Kami, Anak-Anak Kami Daripada Ain Yang Memudaratkan




oleh: Ustaz Zahazan Mohamed ( zahazan@telagabiru.net.my)

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Qalam ayat ke-51, maksudnya: “Dan sesungguhnya orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan renungan tajam mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), yang tatkala mereka mendengar al-Quran lalu berkata: ‘Sungguhnya dia (Muhammad) itu benar-benar orang gila."

Menurut kebanyakan pentafsir al-Quran, termasuk Ibn Kathir, Ibn Athiyyah, al-Qurtubi, al-Izz bin Abd Salam dan al-Suyuti, masing-masing mentafsirkan ayat kedua terakhir daripada surah al-Qalam ini sebagai usaha jahat pihak Quraisy untuk menghalang Nabi s.a.w. daripada menyampaikan dakwahnya kepada penduduk Makkah. Ini disebabkan perkataan “Layuzliqunaka” itu berasal daripada kata kerja Zaliqa ataupun Zalaqa yang membawa makna tergelincir daripada sesuatu tempat (Mukhtar al-Sihah dan al-Qamus al-Muhit).

Menurut Ibn al-Jauzi sepertimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas, Mujahid dan lainnya, kata kerja ini kemudiannya digunakan dalam konteks yang lebih luas merujuk kepada sikap “memandang atau renungan tajam dengan penuh kebencian sehingga menyebabkan kemudaratan”. Ayat ini menurut Ibn Abbas menjadi dalil bahawa ain ataupun pandangan mata yang tidak dikawal oleh seseorang yang memiliki pengaruh itu boleh mengakibatkan bahaya.

Sehubungan dengan tafsiran ini, al-Imam Ibn Athiyyah al-Andalusi, pakar tafsir dari Andalus menjelaskan (sebagai contoh) dalam tafsir beliau, al-Muharrar al-Wajiz bahawa antara usaha jahat yang dilakukan oleh Musyrikin terhadap Nabi adalah mencari seseorang yang terkenal mempunyai pandangan mata yang berpengaruh untuk menganiayai Nabi. Lelaki yang berasal daripada keturunan Asad ini berupaya memudaratkan makhluk seperti unta hanya dengan menggunakan pandangannya.



Biasanya beliau akan menahan diri daripada makan selama tiga hari lalu pada hari berikutnya beliau akan merenung unta dengan kekuatan pada matanya sehingga menyebabkan unta itu mati di tempat kejadian. Mereka merancang melakukan perkara yang sama kepada Nabi s.a.w. tetapi Allah s.w.t. memelihara Baginda, sesuai dengan janji-Nya dalam surah al-Ma’idah ayat ke-67, maksudnya: “Allah jualah yang akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.”

Penjelasan lanjut maksud bahaya yang dikandungkan oleh mata ini terdapat banyak hadis yang menerangkannya. Muslim meriwayatkan daripada Ibn Abbas, apabila Asma’ bt Umais r.ha. bertanya kepada Nabi adakah anaknya, Ja’far ditimpa ain (bahaya kerana pandangan), maka Nabi s.a.w. menjawab, maksudnya: “Ain itu benar-benar wujud. Jika ada sesuatu yang mendahului qadar, maka ainlah itu. Dan apabila kalian diminta untuk mandi, maka dia hendaklah melakukannya.”

Menurut Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya, ringkasan Tafsir Ibn Kathir yang diberi nama Sahih Tafsir Ibn Kathir, seseorang yang telah diketahui menyebabkan kemudaratan oleh pandangannya terhadap seseorang yang lain, hendaklah dia disuruh mandi. Air yang telah digunakan olehnya untuk mandi hendaklah ditadah dan dimandikan dengannya pula akan mangsa. (Rujuk Sahih Tafsir Ibn Kathir terjemahan Pustaka Ibn Kathir, Jakarta, Indonesia, cet. Feb 2009, jld. 9, hlm. 246, di bahagian nota kaki)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, daripada Umamah bin Sahl bin Hanif r.a. bahawa bapanya pernah pergi bersama Rasulullah s.a.w. menuju ke Makkah hingga mereka melalui sebuah aliran air di Khirar berdekatan dengan Juhfah. Sahl bin Hanif telah mandi dan dia merupakan seorang lelaki berkulit putih yang cantik fizikalnya. Amir bin Rabi’ah, saudara kepada bani ‘Adi bin Ka’ab melihatnya ketika sedang mandi. Maka dia pun berkata: “Tidak ada yang kulihat sepertinya hari ini, tidak sedikit pun kulit yang ditutupi.” Kata-katanya itu mengakibatkan Sahl terjatuh ke dalam air dan kelihatan gelembung udara dari dalam air tempat dia mandi (menunjukkan bahawa dia telah tenggelam lemas). Saya telah memanggilnya sebanyak tiga kali tetapi tiada jawapan. Saya segera mendapatkan Nabi s.a.w. dan memberitahu tentang kejadian itu. Baginda bersegera ke tempat kejadian dan saya dapat melihat betis Nabi yang putih. Kemudian Rasulullah memukul dada Sahl yang pengsan lalu berdoa:

Maksudnya: “Ya Allah! Selamatkanlah dia daripada panasnya, dinginnya dan rasa sakitnya (penyakit disebabkan ain).” (Riwayat Ahmad no. 16110, Ibn Abi Syaibah no. 23594)

Baginda lantas bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang kalian melihat pada saudaranya atau pada dirinya atau daripada hartanya sesuatu yang mengkagumkan, maka hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya, kerana sesungguhnya ain itu benar!” (Riwayat Ahmad dalam al-Musnad, no. 15700)

Nabi s.a.w. pernah mendoakan untuk kedua cucu Baginda s.a.w. dengan doa

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan untuk kalian berdua dengan kalimah Allah yang sempurna daripada setiap syaitan, binatang berbisa dan daripada ain yang membahayakan. (Riwayat al-Bukhari no. 3371, Abu Daud no. 4739 dan al-Tirmizi no. 2201 )

Kemudian Baginda bersabda maksudnya: “Demikianlah dahulunya Ibrahim a.s. memohon perlindungan daripada Allah s.w.t. untuk kedua-dua puteranya Ismail dan Ishaq a.s. (Riwayat Ahmad no. 2146)

(Sila rujuk kepada kitab 101 Doa daripada Hadis-Hadis yang Sahih, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd., hlm. 89-90 bagi yang ingin mengetahui lanjut tentang kaedah beramal)



sumber: SOLUSI

No comments:

Post a Comment