“Apabila saya terlibat dengan kerja dakwah, barulah saya tahu saya telah banyak melakukan zina hati,” kata seorang pemuda.
“Itulah dulu pun saya ada kekasih, dan
kami saling cinta menyintai dan merancang untuk berkahwin apabila sampai
masanya, tapi apabila saya tahu hubungan saya dengan dia tu menyebabkan
saya dan dia terjebak dengan zina hati maka saya putuskan”
Seringkali saya mendengar kata-kata
seperti itu keluar melalui kata-kata atau tulisan daripada mereka yang
melibatkan diri dengan gerak kerja persatuan-persatuan Islam atau
kerja-kerja dakwah remaja. Pada mulanya saya buat tak kisah atau dengan
kata lain buat tak port kerana saya menganggap kes-kes itu sebagai kes
terpencil yang biasanya berlaku di zaman sekolah menengah. Biasalah tu
budak-budak sekolah yang baru dalam proses pra-matang kepada matang,
baru nak up orang kata, pedulikanlah.
Tapi apabila ada pelajar di peringkat
universiti yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan mirip sebegitu, saya
mula tertanya-tanya dan bersyak wasangka, “Eh takkanlah pelajar
universiti yang bakal keluar sebagai pemimpin masyarakat pun tak
faham-faham lagi, mustahillah”. Tapi ternyata, sangkaan saya itu meleset
sama sekali. Mimpi buruk melanda diri setelah melancong ke laman-laman
web internet yang mempromosikan keislamikkan mereka. Saya terkejut
apabila mendapati ketempangan yang cukup serius dalam memahami apa yang
diistilahkan sebagai zina hati.
MAKSUD ZINA HATI DAN ZINA KECIL YANG LAIN
Sabda Rasulullah s.a.w:
(إِنَّ اللهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ
حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا الْعَيْنِ
النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ الْمَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى
وَتَشْتَهِي، وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ). رواه البخارى
(6/2438، رقم 6238)، ومسلم (4/2046، رقم 2657)، وأبو داود (2/246، رقم
2152)، والبيهقى فى شعب الإيمان (4/365، رقم 5428).
وفي رواية مسلم: (كُتِبَ عَلَى ابْنِ
آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ
فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا
الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا
الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى
وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ).
Maksudnya: Sesungguhnya Allah
mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas
anak-anak Adam. Zina mata itu adalah pandangan, zina lidah itu adalah
ucapan, nafsu mengharap dan berkeinginan, dan kemaluan itu mengiyakan
atau mendustakannya. Hadith riwayat Bukhari (6/2438, no 6238), Muslim
(4/2046, no 2657), Abu Daud (2/246, no 2152), dan Imam Baihaqi dalam
Shu’ab Iman (4/365, no 5428).
Dan dalam riwayat Imam Muslim:
Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian
zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Mata itu
zinanya pandangan, telinga itu zinanya mendengar, lidah itu zinanya
ucapan, tangan itu zina melakukan kekerasan, kaki itu zinanya langkah,
dan hati itu mengharap dan berkeinginan, dan mengiyakannya kemaluan atau
mendustakannya.
Hadith pertama menggunakan istilah zina
nafsu, manakala hadith yang kedua pula menggunakan istilah zina hati.
Hadith inilah yang menjadi hujah tentang wujudnya zina yang dinamakan
dengan zina hati dan tidak syak lagi hadithnya adalah hadith yang sahih.
Tidak dipertikaikan kewujudan istilah
zina hati dan asasnya dalam Islam, tetapi apa yang dipertikaikan adalah
kegagalan ramai daripada kalangan mereka yang bercakap tentangnya untuk
mengupasnya secara ilmiyyah sehingga adakalanya membuatkan remaja dan
pemuda salah faham yang seterusnya menyebabkan berlakunya pemikiran yang
tempang dalam beragama.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan
dengan zina hati? Adakah jatuh cinta kepada seseorang itu dianggap zina
hati? Adakah teringatkan seseorang itu zina hati? Mungkin sebahagian
daripada kita akan menjawab: “Ya, itulah zina hati”. Apabila ditanya
lagi mengapa itu zina hati? Jawab mereka: “Kerana kita mengingati
seseorang yang ajnabi (bukan mahram) yang tidak halal buat kita”!!!
Kalau anda meletakkan sebab
pengharamannya adalah kerana dia ajnabi tidak halal bagi kita, bagaimana
anda mahu menafsirkan firman Allah dalam Al-Qur’an tentang Sahabat Nabi
yang teringatkan perempuan ajnabiyyah yang tidak halal buatnya?
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-235:
))عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَكِنْ لا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرّاً إِلَّا أَنْ تَقُولُوا قَوْلاً مَعْرُوفاً((
Dalam ayat ini dan ayat sebelumnya,
menceritakan tentang عدة / iddah (tempoh suci) perempuan yang bercerai
dengan suaminya. Kemudian ada lelaki ajnabi yang mengintai-intai peluang
untuk melamar perempuan ini. Lalu Allah berfirman: “Allah Maha
Mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut, tetapi jangan
kamu berjumpa dengan perempuan itu secara rahsia kecuali dengan
berkata-kata perkara yang baik”.
Syed Qutb dalam tafsirnya berkata: “Dan
Allah telah mengharuskannya kerana itu berkaitan dengan kecenderungan
fitrah yang halal pada asalnya, harus pada zatnya … dan Islam itu tidak
menghancurkan kecenderungan fitrah tetapi membajainya, dan tidak menekan
naluri kemanusiaan tetapi mengawalnya. (Rujuk Fi zilali Qur’an oleh
Syed Qutb, jilid 1, m/s 238).
Bukankah perempuan yang baru berpisah
dengan suaminya merupakan perempuan ajnabiyyah kepada lelaki lain yang
mahu melamarnya??? Tapi mengapa Allah langsung tidak mengatakan kepada
lelaki ajnabi itu tak boleh mengingati perempuan tetapi hanya berpada
dengan berkata: “Allah Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati
perempuan tersebut tetapi jangan kamu berjumpa dengan dia secara
rahsia”.
Justeru apa yang dapat difahami daripada
ayat tersebut adalah: Tiada masalah dalam mengingati perempuan
tersebut, tapi jangan fikir nak buat yang bukan-bukan yang bertentangan
dengan syarak’. Itulah apa yang sepatutnya difahami daripada firman
Allah tersebut.
Kalau mengingati perempuan yang
ajnabiyyah itu zina hati, tentunya Allah melarang para sahabat daripada
mengingati perempuan, tetapi Allah sendiri tidak melarang bahkan memberi
izin.
Justeru, yang dimaksudkan dengan zina
hati itu adalah hati yang menaruh niat untuk berzina, menikmati hubungan
persetubuhan luar nikah. Itu yang dimaksudkan dengan zina hati. Rujuk
kembali konteks hadith berkaitan zina hati secara keseluruhan. Tidakkah
di pengakhiran hadith tersebut Nabi ada menyebut:
وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ
Maksudnya: “Dan kemaluan itu mengiyakan
atau mendustakannya”. Bermakna semua perkara daripada tangan, kaki,
telinga, mata, lidah, hati yang menuju ke arah persetubuhan haram
barulah dipanggil dengan zina. Sebab itu disebut di pengakhiran hadith:
“Kemaluan itu yang akan menentukan berlaku atau tidak berlakunya zina”.
Sebab itu Ibnu Mas’ud menambah dengan katanya:
“فإن صدقه بفرجه كان زانيا وإلا فهو اللمم” أخرجه البيهقي في شعب الإيمان (5/393، رقم 7060)
Maksudnya: “Jika dia mengiyakannya
(kehendak berzina) dengan kemaluannya maka dia menjadi penzina, jika
tidak maka itu adalah Al-Lamam (dosa kecil)”. Dikeluarkan oleh Imam
Baihaqi dalam kitabnya Shu’abul Iman (5/393, no 7060).
Jadi, zina kecil yang disebutkan itu
adalah yang mengarah pada hubungan kelamin luar nikah. Oleh itu, melihat
bukan mahram bukanlah serta-merta boleh digolongkan sebagai zina mata.
Yang tergolong “zina mata” adalah pandangan yang menggoda dan penuh
syahwat.
Dengan itu juga, menyampaikan kata-kata
mesra kepada bukan mahram bukanlah semestinya tergolong sebagai “zina
lisan”. Yang tergolong sebagai “zina lisan” adalah kata-kata pujuk rayu
dan godaan kepada nafsu berahi.
Begitu juga halnya dalam masalah
mengingati atau merindukan si dia atau pun merasakan getaran di hati
ketika memikirkan si dia, bukanlah serta merta boleh tergolong sebagai
“zina hati”. Pengertian “zina hati” adalah mengharap dan menginginkan
kepada persetubuhan luar nikah sebagai memenuhi syahwat.
EKSTREMIS DI DALAM ISU ZINA HATI
“Melihat perempuan itu haram”
“Mendengar suara perempuan itu haram”
“Mengingati bayangan perempuan itu haram”
“Semua itu adalah zina”
Biasa mendengar klausa-klausa kata
sebegitu? Banyak kali dengar kan? Mungkin agaknya mereka mahu menjadikan
perempuan itu sebagai makhluk haram di atas planet bumi ini, dan bagi
perempuan pula mereka mahu menjadikan makhluk lelaki sebagai makhluk
haram di atas planet bumi ini.
Sampai begitu sekalikah pandangan anda
tentang pengharaman segala yang datang daripada perempuan atau segala
yang datang daripada lelaki? Sedangkan khinzir pun tidak sampai ke tahap
itu diharamkan dalam Al-Qur’an. Yang hanya diharamkan adalah makan
dagingnya sahaja.
Apakah sebenarnya pengharaman dalam
masalah perhubungan antara lelaki dan perempuan? Adakah perempuan itu
haram semata-mata kerana dirinya حرام لذاته / haram lizatihi, atau haram
kerana perkara luaran lain حرام لغيره / haram lighairihi?
Melihat perempuan itu haram sebab apa?
Adakah semata-mata pandangan kepada perempuan itu haram atau pandangan
itu haram disebabkan unsur luaran lain?
Tentunya pandangan yang diharamkan
adalah pandangan yang disertai dengan syahwat, pandangan yang menggoda
dan bernafsu. Itulah sebab kepada pengharaman pandangan bukan
semata-mata kerana pandangan biasa.
Suara perempuan itu haram sebab apa?
Adakah semata-mata suara kepada perempuan itu haram atau suara itu haram
disebabkan unsur luaran lain?
Tentunya suara yang diharamkan adalah
suara yang dilunakkan untuk menarik perhatian, suara manja mendodoi,
suara-suara gedik. Suara sebegitulah yang diharamkan bukan semata-mata
suara biasa.
Mengingati perempuan itu? Adakah
semata-mata ingat kepada perempuan itu haram atau ingatan itu haram
disebabkan unsur luaran lain?
Tentunya ingatan yang diharamkan adalah
ingatan yang membayangkan keseksian susuk tubuh perempuan, membayangkan
untuk bersetubuh dengan perempuan dan bayangan yang membangkitkan
berahi. Ingatan dan bayangan sebegitulah yang diharamkan bukan
semata-mata ingatan biasa.
Itulah hal-hal yang dipanggil zina
kecil. Pengakhiran yang menentukannya adalah kemaluannya sama ada
menjebakkannya ke kancah perzinaan hakiki atau tidak.
SEJAUH MANA DOSA ZINA TANGAN, KAKI, TELINGA, MATA, LIDAH, HATI?
Ibnu Mas’ud mengatakan bahawa:
“فإن صدقه بفرجه كان زانيا وإلا فهو اللمم” أخرجه البيهقي في شعب الإيمان (5/393، رقم 7060)
Maksudnya: “Jika dia mengiyakannya
(kehendak berzina) dengan kemaluannya maka dia menjadi penzina, jika
tidak maka itu adalah Al-Lamam (dosa kecil)”. Dikeluarkan oleh Imam
Baihaqi dalam kitabnya Shu’abul Iman (5/393, no 7060).
Kata Ibnu Abbas pula:
“مَا رَأَيْتُ شَيْئًا أَشْبَهَ
بِاللَّمَمِ مِمَّا قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ عَن النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ كَتَبَ عَلَى ابْنِ
آدَمَ حَظَّهُ مِنْ الزِّنَا أَدْرَكَهُ لَا مَحَالَةَ وَزِنَا الْعَيْنِ
النَّظَرُ وَزِنَا اللِّسَانِ النُّطْقُ وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي
وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ)”. رواه البخاري (8/67، رقم
5774) ومسلم (8/52، رقم 4801).
“Aku tidak melihat sesuatu yang lebih
menyerupai Al-Lamam itu kecuali daripada kata-kata Abu Hurairah daripada
Nabi s.a.w (Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak
dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Zina mata itu adalah
pandangan, zina lidah itu adalah ucapan, nafsu mengharap dan
berkeinginan, dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya)”. Riwayat
Imam Bukhari (8/67, no 5774), dan Imam Muslim (8/52, no 4801).
Apa yang dimaksudkan dengan Al-Lamam?
Al-Lamam bermaksud dosa kecil yang tidak akan selamat daripadanya
kecuali mereka yang dilindungi dan dijaga oleh Allah. Ibnu Mas’ud, Abu
Said, Huzaifah, dan Masruq berpendapat bahawa: Al-Lamam itu ialah selain
daripada bersetubuh, sama ada ciuman, sentuhan, pandangan, dan
baringan. (Rujuk Tafsir Al-Qurthubi, jilid 17, m/s 106, cetakan Dar
Alamil kutub)
Perkataan Al-Lamam ini disebut dalam firman Allah dalam Al-Qur’an, Surah An-Najm , ayat ke-32 :
((وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا
فِي الْأَرْضِ لِيَجْزِيَ الَّذِينَ أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا وَيَجْزِيَ
الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى (31) الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ
الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ
الْمَغْفِرَةِ …))
Maksudnya: “Dan bagi Allah segala yang
di langit dan di bumi, supaya dia membalas mereka yang berbuat buruk
dengan apa yang mereka kerjakan, dan membalas mereka yang baik dengan
kebaikan. Mereka yang menjauhi dosa-dosa besar dan perkara-perkara keji
kecuali Al-lamam, Sesungguhnya Tuhan kamu Maha Luas keampunannya…”
Contoh daripada hadith ini mungkin boleh membantu soal pengampunan dosa Al-Lamam:
أَنَّ رُجلا أصَابَ من امرأَةٍ قُبْلَة،
فأتَى النبيَّ صلى الله عليه وسلم، فذكر ذلك له، فَنزلت ((وأَقِمِ
الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهارِ وَزُلَفا مِنَ اللَّيْلِ، إنَّ الْحَسَناتِ
يُذْهِبْنَ السَيِّئاتِ ذلكَ ذِكْرى لِلذَّاكِرين)) [ هود : 116]. فقال
الرجل : يا رسول اللّه، أَلِيَ هذه ؟ قال: «لمنْ عمل بها من أُمَّتي».
أخرجه البخاري (1/140)، ومسلم (8/101).
Maksudnya: “Seorang lelaki telah mencium
seorang perempuan, lalu dia datang bertemu Nabi dan menceritakan
perkara itu kepada Nabi”. Lalu turunlah ayat “Dan dirikanlah solat pada
sebahagian hari dan hujung malam, sesungguhnya kebaikan itu akan
menghapuskan keburukan, itu adalah ingatan kepada mereka yang
mengingati” [Surah Hud, ayat ke-116]. Lalu lelaki tersebut berkata:
“Wahai Rasulullah, adakah bagiku (sahaja) hal ini?” Sabda Nabi: “Bahkan
bagi orang melakukannya daripada umatku”. Riwayat Imam Bukhari (1/140)
dan Imam Muslim (8/101).
Lelaki tersebut telah melakukan zina
kecil, iaitu mencium seorang perempuan bukan mahram. Bagaimana untuknya
menghapuskan dosa zina kecil tersebut? Jawabnya adalah dengan berbuat
kebaikan, insyaAllah kebaikan yang dibuat itu akan menghapuskan dosa
yang dilakukan.
APA HUKUM BERCINTA?
Pertamanya, apa maksud bercinta itu?
Adakah maksudnya memiliki dan berkongsi perasaan cinta antara lelaki dan
perempuan? Atau maksudnya keluar berdua-duaan dan bermesra dengan jalan
berpimpin tangan dan segala aktiviti lain?
Saya rasa semua bersetuju bahawa kalau
maksudnya keluar berdua-duaan dan bermesra dengan jalan berpimpin tangan
dan segala aktiviti lain maka saya kira semua daripada kita akan
bersetuju tentang keharamannya.
Tetapi kalau maksudnya, memiliki dan
berkongsi perasaan cinta antara lelaki dan perempuan, apakah juga
termasuk dalam perkara yang haram? Apakah yang salahnya di situ? Mungkin
ada yang akan menjawab, tak boleh, kerana bercinta sebelum kahwin itu
akan mengundang dosa dengan melakukan perkara-perkara tak baik.
Baik kalau begitu, bercinta itu tidak
haram pada asalnya tetapi bertukar menjadi haram kerana tidak mematuhi
batas-batas yang dibenarkan. Pendek kata, pengharaman itu berlaku bukan
pada perasaan tersebut tetapi pada perkara luar. Atau dengan bahasa usul
Fiqhnya cinta itu bukannya حرام لذاته / haram lizatihi, tetapi bertukar
menjadi حرام لغيره / haram lighairihi kerana perkara lain.
Bermakna selagi mana batas-batas pergaulannya terjaga maka cinta itu tiada sebab dan alasan untuk diharamkan.
Justeru, tidak sepatutnya wujud antara
kita yang semudah-mudahnya mahu menghukum mereka yang menyimpan perasaan
cinta antara satu sama lain itu sebagai haram kerana perasaan cinta itu
adalah fitrah manusia yang suci. Hanya apabila batas-batas pergaulan
dilanggar barulah hukumnya bertukar menjadi haram.
Makan daging lembu itu adalah halal,
tetapi makan daging lembu yang dicuri adalah haram, bukan kerana daging
itu, tetapi kerana masalah curi. Bagi menghalalkan kembali daging
tersebut, bayar sahaja wang harga daging kepada tuan punyanya.
Begitu juga dengan cinta. Menyimpan dan
berkongsi perasaan cinta dengan bukan mahram itu adalah satu perkara
fitrah dan diharuskan dalam agama, tetapi apabila perasaan itu disertai
dengan kehendak untuk persetubuhan haram (zina), maka diharamkan, bukan
kerana perasaan tersebut tetapi kerana niat untuk persetubuhan haram
tersebut. Justeru, bagi menghalalkan kembali hubungan cinta yang
terjalin, perkara-perkara haram yang timbul perlu dibuang.
Memiliki dan berkongsi perasaan cinta
ini yang halal ini diperakui oleh Nabi s.a.w dalam sebuah hadith yang
diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:
عن ابن عباس رضي الله عنهما أن رجلاً قال:
“يا رسول الله في حجري يتيمة قد خطبها رجل موسر ورجل معدم، فنحن نحب
الموسر وهي تحب المعدم، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (لم نر
للمتحابين غير النكاح)”. أخرجه ابن ماجه (1/593، رقم 1847)، والطبرانى
(11/17، رقم 10895)، والحاكم (2/174، رقم 2677) وقال: صحيح على شرط مسلم،
والبيهقى (7/78، رقم 13231).
Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas, bahawa
seorang lelaki berkata kepada Nabi: “Wahai Rasulullah, aku ada
memelihara seorang anak yatim perempuan. Dia dilamar oleh orang kaya dan
orang miskin. Kami suka kalau dia memilih yang kaya, tetapi dia cinta
kepada yang miskin. Maka berkata Rasulullah s.a.w: (Kami tidak melihat
perkara yang sesuai bagi orang yang saling menyintai itu kecuali
kahwin)”. Hadith diriwayatkan oleh Ibnu Majah (1/593, no 1874),
At-Tabarani (11/17, no 10895), Al-Hakim (2/174, no 2677) dan berkata
bahawa “hadith ini sahih mengikut syarat Imam Muslim”, dan Imam Baihaqi
(7/78, no 13231).
Nabi langsung tidak mencela perasaan
cinta yang dimiliki anak yatim perempuan tersebut sebelum berkahwin.
Nabi hanya berkata bahawa perkara yang sesuai kepada orang yang saling
menyintai itu adalah kahwin.
Hadith seterusnya berkenaan cinta Mughith kepada Barirah:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ: أَنَّ زَوْجَ
بَرِيرَةَ كَانَ عَبْدًا يُقَالُ لَهُ مُغِيثٌ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ
يَطُوفُ خَلْفَهَا يَبْكِي وَدُمُوعُهُ تَسِيلُ عَلَى لِحْيَتِهِ فَقَالَ
النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعبَّاسٍ: يَا عَبَّاسُ،
أَلَا تَعْجَبُ مِنْ حُبِّ مُغِيثٍ بَرِيرَةَ وَمِنْ بُغْضِ بَرِيرَةَ
مُغِيثًا). فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (لَوْ
رَاجَعْتِهِ). قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ تَأْمُرُنِي؟ قَالَ: (إِنَّمَا
أَنَا أَشْفَعُ) قَالَتْ: لَا حَاجَةَ لِي فِيهِ. أخرجه البخارى (5/2023،
رقم 4979)، وأبوداود (2/270، رقم 2231)، والنسائى (8/245، رقم 5417)، وابن
ماجه (1/671، رقم 2075)، وأخرجه أيضًا ابن حبان (10/96، رقم 4273).
Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas (dia
berkata): “(Bekas) Suami Barirah adalah seorang hamba dipanggil Mughith.
Seolah-olah aku melihatnya sekarang mengekori belakang Barirah dengan
bercucuran air mata atas janggutnya. Nabi lalu berkata kepada Abbas:
(Wahai Abbas, tidakkah engkau takjub dengan kecintaan Mughitgh kepada
Barirah, dan kebencian Barirah kepada Mughith?. Kata Nabi kepada
Barirah: (Kalaulah kamu dapat kembali kepadanya). Barirah lalu berkata:
“Wahai Rasulullah, adakah kamu memerintahkan aku? Nabi berkata: (Aku
hanya menjadi juru runding). Barirah berkata: “Aku tak punya hajat pada
Mughith”. Hadith riwayat Imam Bukhari (5/2023, no 4979), Abu Daud
(2/270, no 2231), Imam An-Nasa’I (8/245, no 5417), Ibnu Majah (1/671, no
2075), juga Ibnu Hibban (10/96, no 4273).
Apa yang dapat difahami daripada hadith ini adalah:
1. Nabi tidak pernah melarang Mughith daripada terus mencintai Barirah walaupun Barirah telah menjadi ajnabiyyah buatnya.
2. Nabi bahkan mengambil inisiatif bagi
melihat cinta itu berjaya dengan memujuk Barirah supaya kembali kepada
Mughith, tetapi apakan daya Barirah tetap menolak.
3. Nabi tidak memberikan sebarang komen
terhadap Mughith yang setia mengekori Barirah untuk memujuknya. Bahkan
Nabi bersabda kepada Abbas: (Tidakkah engkau takjub dengan kecintaan
Mughitgh kepada Barirah, dan kebencian Barirah kepada Mughith?)
Lihat bagaimana ajaran Islam yang
bersifat sesuai dengan realiti kehidupan berdepan dengan masalah
manusia. Sayangnya ajaran Islam yang bersifat realistik dan meraikan
fitrah manusia ini, dicemarkan oleh sebahagian daripada kita yang
terlampau bersemangat dalam membasmi masalah gejala sosial, sehingga
dalam sedar atau tidak sedar mereka turut membasmi fitrah manusia dan
menjadikan ajaran Islam seolah-olah hanya merupakan fantasi kehidupan
yang tidak pernah wujud.
Islam datang bukan untuk berkata:
“Jangan menyintai dan buang perasaan cinta itu”, tetapi datang dengan
mengajarkan kita bahawa andainya kamu jatuh cinta, maka barhati-hatilah
agar cinta itu tidak membuatkan kamu terpesong daripada kebenaran.
Islam juga datang bukan untuk mengatakan
kepada kita: “Jangan kamu membenci sesama kamu”, tetapi datang untuk
mengajarkan andainya kamu membenci seseorang maka biarlah berpada-pada
jangan sampai membutakan kamu daripada kebenaran.
Jatuh cinta adalah perkara yang tidak
mampu dikawal, hal itu terletak pada kuasa Allah dan Allah tidak akan
menzalimi hambaNya dengan membebankan mereka dengan perkara-perkara yang
tidak mereka mampu melakukannya. Masalah yang diperbahaskan dalam ilmu
usul fiqh sebagai التكليف بما لا يطاق / Attaklif bima la yutaq.
Sedangkan Nabi sendiri pun meminta
pengecualian daripada Allah dalam urusan berlaku adil antara isterinya
dalam perkara yang melibatkan hati dan perasaan.
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْسِمُ بَيْنَ نِسَائِهِ فَيَعْدِلُ،
وَيَقُولُ: (اللَّهُمَّ هَذِهِ قِسْمَتِي فِيمَا أَمْلِكُ فَلَا تَلُمْنِي
فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ). قال الترمذي: إِنَّمَا يَعْنِي بِهِ
الْحُبَّ وَالْمَوَدَّةَ كَذَا فَسَّرَهُ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ. أخرجه
الترمذي (1140)، وأبو داود (2134)، والنسائي (7/63).
Maksudnya: Daripada Aisyah bahawa Nabi
membahagikan antara isteri-isterinya dengan adil dan dia berkata: “Ya
Allah, ini adalah pembahagian aku daripada apa yang aku miliki,
janganlah Engkau mencela aku pada perkara yang Engkau miliki tapi tidak
aku miliki”. Berkata Imam Tirmizi: Sesungguhnya yang dimaksudkan itu
adalah perasaan cinta dan sayang sebagaimana tafsiran ahli ilmu. Hadith
dikeluarkan oleh Imam Tirmizi (1140), Imam Abu Daud (2134), dan Imam
Nasa’I (7/63).
Jelas melalui hadith tersebut bahawa
perasaan cinta dan sayang tidak mampu dikawal oleh manusia. Mustahil
bagi seorang lelaki yang beristeri empat contohnya mahu berlaku adil
terhadap isteri-isterinya dalam soal hati dan perasaan. Sebab itu Nabi
sendiri memohon kepada Allah supaya tidak mencelanya pada perkara yang
tidak dimiliki olehnya dan tidak termampu baginya untuk melakukan.
Hal sebegini disedari dengan baik oleh
para sahabat. Dalam suatu kisah yang melibatkan Sayyidina Umar sendiri
diceritakan bahawa telah datang kepadanya seorang lelaki dan berkata:
“Wahai Amir Mukminin, sesungguhnya aku telah melihat seorang perempuan
lalu aku jatuh cinta kepadanya”. Lalu Sayyidina Umar Bin Khattab
berkata: “Itu adalah perkara yang tidak mampu dikawal”. Rujuk Al-Jawab
Al-Kafi oleh Ibnul Qayyim, m/s 164, cetakan Darul Kutubil Ilmiyyah.
Hal ini berlaku kerana sememangnya
manusia itu akan mudah jatuh cinta kepada sesiapa yang berkongsi
keserasian dengannya, bak sabda Nabi dalam sebuah hadith:
الأرواح جنود مجندة فما تعارف منها ائتلف وما تناكر منها اختلف
أخرجه البخارى (3/1213، رقم 3158).ـ
Maksudnya: “Roh-roh itu adalah ibarat
tentera yang saling berpasangan, mana-mana roh yang secocok maka roh-roh
itu akan bersatu, mana-mana roh yang tak secocok maka roh-roh itu akan
berselisih”. Dikeluarkan oleh Imam Bukhari (3/1213, no 3158).
CONTOH-CONTOH KEKELIRUAN
1. “Astaghfirullahalazim! Apa yang
telah aku lakukan? Bukankah berhubung dengan berlainan mahram sehingga
membibitkan perasaan cinta itu HARAM berdosa.”
Komen saya: Alangkah jahilnya. Bagaimana mungkin perasaan cinta yang timbul dalam hati itu dianggap haram dan berdosa???
2. Zinanya hati ini berlaku apabila hati
kita menginginkan sesuatu yang haram bagi kita secara berlebih-lebihan.
Sebagai contoh, keinginan itu seperti ingin dirindui, dicintai,
dibelai, mengingati si dia lebih daripada kita mengingati Tuhan.
Komen saya: Masih gagal memahami maksud
zina hati dengan baik. Yang pertama katanya zina hati adalah:
Menginginkan perkara haram secara berlebihan. Kalau begitu,
menginginkan perkara haram secara tak berlebihan tu kira oklah ya???
Yang kedua, contoh yang diberikan itu
satu pun tidak termasuk dalam zina hati, hal-hal itu bukan termasuk
dalam bab zina hati, tetapi termasuk dalam bab lagha dan melakukan
perkara yang harus dengan berlebihan.
3. Seorang lelaki teringatkan perempuan,
itu zina hati kan? Saya pun kurang jelas dengan konsep zina hati ni.
Jadi maknanye kalau teringat saja kat bukan mahram kita tu dah kira zina
ya? Satu lagi, lelaki tersebut sahaja yang berdosa atau pun keduanya?
Komen saya: Lelaki ingatkan perempuan
itu zina hati? Perempuan ingatkan lelaki zina hati? Hehe… luasnya skop.
Kalau macam tu, lelaki lepas ni janganlah ingat kepada ustazah kat
sekolah, perempuan pula jangan ingatkan ustaz kat sekolah. Itu semua
zina hati tu, berdosa tau tak… hehe. Come on lah, sudahlah maksud zina
hati itu pun tak faham, mudah-mudah sahaja memberi pandangan.
Adapun soal siapa yang berdosa dalam hal
ini, jawabnya tiada sesiapa yang berdosa baik lelaki mahupun perempuan
kerana itu bukan zina hati.
4. Saya ada kemusykilan di sini.
Seandainya pasangan ini sudah berniat untuk berkahwin, adakah rindu
antara mreka juga dikatakan zina hati?
Maka menjawablah seorang ustazah: “Yap!! selagi belum berkahwin.”
Komen saya: Soalannya bagus. Tetapi
jawapan yang diberikan oleh ustazah itu cukup mengecewakan. Ustazah,
tolonglah fahami maksud zina hati itu dengan baik sebelum memberikan
jawapan. Boleh ustazah?
5. Dalam tak sedar, kita boleh melakukan
zina. Benda yang kita tak nampak, tapi dosa besar. Dalam diam, kita dah
lakukan zina. Bukan dari luaran, tapi dalaman. Astghfirullahala’zim.
Kita sekarang terlalu terdedah dengan benda-benda yang lagha. Lupa
mengingati Allah.
Komen saya: Dosa besar? Sejak bila pula
zina tangan, kaki, mata, mulut, hati itu tergolong dalam dosa besar?
Telah saya jelaskan bahawa itu semua termasuk dalam kategori dosa kecil
yang disebut sebagai Al-Lamam. Dosa sebegini terampun hanya dengan
melakukan perkara kebaikan biasa seperti berwudhuk, solat, zikir dan
sebagainya lagi tanpa memerlukan taubat khusus.
Soal lagha dan lupa mengingati Allah itu
soal lain. Kalau nak bercerita tentang lupa mengingati Allah ni, semua
manusia tidak terlepas termasuklah para sahabat Nabi terdahulu kerana
kita adalah manusia bukan malaikat. Cubalah menjadi manusia yang baik,
jangan cuba menjadi malaikat.
Seorang sahabat Nabi bernama Hanzalah
mengadu kepada Nabi dengan berkata: “Wahai Nabi, sesungguhnya Hanzalah
telah menjadi munafiq”. Nabi berkata: “Apa maksudmu?” Kata Hanzalah:
“Apabila kami berada bersama Kamu, kami ingat kepada Akhirat, tetapi
apabila kami pulang bersama keluarga, anak-anak, dan harta kami, kami
banyak lupa”. Sabda Nabi: “Demi Allah yang diriku dalam kekuasaanNya,
kalau kamu terus kekal seperti hal kamu ketika bersamaku, nescaya
malaikat akan berjabat tangan dengan kamu di bilik kamu dan jalan-jalan.
Tetapi Hanzalah, ada masa-masanya”. Riwayat Imam Muslim (8/95, no 4937)
6. Jika kita rindu seseorang ajnabi
kerana kita memang couple dengan dia, tak kiralah berjumpa atau tidak,
itu dikira zina hati. Kalau tak couple, tapi mungkin minat, dan
lama-lama jadi rindu jika tak berjumpa, pada mulanya fitrah, tetapi
apabila tak dikawal, dielak, tak mujahadah, itu boleh menjadi zina hati.
Komen saya: Pulak dah, ada beza pula ya
antara yang bercouple dengan tak bercouple. Jawapan yang langsung tiada
asas ilmu, sekadar mengagak-agak.
7. Saya selalu digosip kawan-kawan
dengan seseorang, bila nama orang tu disebut-sebut, saya akan teringat
kepada dia dan ini menyebabkan saya terpalit dengan dosa zina hati
kerana mengingati seseorang yang bukan mahram dengan saya.
Astaghfirullah, moga-moga Allah mengampuni dosa saya.
Komen saya: Oh ya ke, kalau begitu lepas
ni janganlah ingat langsung kepada sesiapa yang bukan mahram anda.
Sepupu anda, cikgu anda, pak guard sekolah anda, perdana menteri negara
anda, kerana itu semua bukan mahram anda tu. Zina hati tu… Hai,
mudah-mudah saja membuat hukum ya.
8. Nak tanya sekejap. Zina hati tu
dikira apabila kita teringat seseorang yg berlainan jantina untuk
seketika atau teringat selalu hingga termenung?
Menjawablah seorang rakannya: “Teringat seketika atau selalu tetap salah. Sebab kita ni kena selalu ingat kepada ALLAH”.
Komen saya: Hohohoho…I’m speechless. Tak
sangka, ada juga jawapan sebegini. Teringat seketika pun tak boleh ya,
kena selalu ingat Allah sepanjang masa 100 peratus ya. Macam tu sahabat
Nabi pun kalah dengan awak. Hebat betul awak ya, sama taraf dengan
malaikat.
Dalam Al-Qur’an pun Allah tak suruh kita
ingat kepadaNya sentiasa kerana itu adalah perkara yang mustahil dan
ulama menyebut bahawa Allah tidak sekali-kali membebankan manusia dengan
perkara yang mustahil untuk dilakukan.
Sebab itu, Allah hanya menyuruh kita
supaya banyak ingat kepadaNya, bukan selalu ingat kepadaNya. Firman
Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat ke-41:
((يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً))
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ingatilah Allah dengan ingatan yang banyak”.
9. Sekarang ni saya tengah buntu. Saya
sekarang bercinta dengan seseorang. Tapi kami mahukan perhubungan kami
diredhai Allah. Tetapi baru-baru ni saya ada baca nota yang mengatakan
bercinta adalah haram dalam Islam. Betul ke? bercinta juga mendekatkan
diri kepada zina iaitu zina hati. merindui dan mengingati antara satu
sama lain. Jadi, apakah yg perlu saya buat?
Maka berfatwalah seorang rakannya:
“Bercinta tu memang haram. Bila dah bercinta kita selalu rindu,
kadang-kadang ingat kat dia dan macam-macam lagi. Itulah yang dinamakan
zina hati. Sebab itu, bercintalah selepas kahwin”.
Komen saya: Sama juga masalah dengan
mereka yang sebelum ni. Keliru dengan maksud bercinta, lepas tu tak
memahami erti zina hati.
Adapun soal bercinta sebelum atau
selepas kahwin, kalau dimaksudkan dengan perasaan cinta, maka bagi saya
perasaan cinta itu perlu ada sebelum kahwin bukan selepas kahwin,
manakala aktiviti percintaan itulah yang dilakukan selepas kahwin. Sebab
itu Nabi menyuruh sahabatnya kalau nak melamar perempuan tu tengok
dulu, supaya timbul perasaan cinta dalam hati. Kalau setelah melihat
tapi tidak timbul rasa cinta dan berkenan tu, maka cari yang lain.
10. Bagi saya memang zina hati susah
untuk dihindari terutama zaman sekarang. Lebih-lebih lagi zaman
teknologi sekarang. Walaupun dengan bermesej, boleh diragukan kita buat
zina tangan. Itu zina tangan, kalau dah zina luaran, macam mana pula
dalaman?
Komen saya: Astaghfirullah, pandangan
yang penuh dengan ta’annut dan tasyaddud. Gagal dalam memahami maksud
zina hati dan zina kecil yang lain. Bermesej di telefon itu zina
tangan?? Kalau anda bermesej mengajak kepada persetubuhan, semestinya
itu zina tangan, tapi kalau sekadar bertegur sapa pun nak dilabelkan
sebagai zina, maka anda tersasar jauh.
Memang berhubung antara lelaki dan
perempuan hanya perlu apabila ada keperluan. Tapi kalau tiada keperluan
dan sekadar menggatal, tidak boleh sewenang-wenangnya dengan mudah
mengkategorikan hal itu dalam bab zina tangan tetapi dikategorikan dalam
bab buat perkara lagho tak berfaedah.
Sudahlah gagal memahami maksud zina-zina
kecil tu, gagal pula membezakan antara mereka yang melakukan zina kecil
dengan mereka yang melakukan perkara-perkara lagho tak berfaedah.
11. Zina hati sebenarnya apabila kita mengingati seseorang secara berlebih-lebihan.
Komen saya: Fahaman yang juga tersasar.
12. Macam mana kalau teringatkan lelaki
yang kita hanya pernah berjumpa dengannya dalam mimpi, tapi kita tak
kenal pun kat alam nyata ni, kira zina hati juga ke?
Komen saya: Lihat bagaimana kegagalan memahami maksud zina hati menyebabkan timbulnya soalan-soalan yang tak sepatutnya timbul.
13. Saya pun ada juga zina hati ni
kerana teringatkan kawan lelaki. Nak buat macam mana nobody’s perfect
except our prophet. Tapi macam yang dah dinasihatkan oleh rakan supaya
bila teringatkan seseorang (si dia) kita hendaklah membaca Al-fatihah
supaya kita ingat dia kerana Allah.
Komen saya: Gagal dalam memahami zina
hati dan mengenal pasti penyakit sebenar, kemudian cuba mereka-reka ubat
sendiri. Baca Al-fatihah supaya kita ingat dia kerana Allah? Hehe…lucu
juga dengan petua yang diberikan.
14. Memang susah nak hindari zina hati.
Susah sangat. Apabila teringatkan si dia, susah nak lupakan. Tapi nak
tanya ni, apa dosanya kalau kita buat orang lain zina hati? Contohnya:
Kita buat orang lain berkenan kat kita.
Komen saya: Masih juga tak faham-faham dengan maksud zina hati.
15. Zina hati yang paling ketara dalam
jiwa remaja zaman sekarang adalah kamu merindui si dia, kamu sentiasa
terbayang si dia, kamu tak dating, tak jumpa dengan si dia, tak keluar
makan-makan, tapi kamu masih terbayang pada si dia. Bukti yang paling
ketara, inbox kamu penuh dengan mesej si dia. Bayangkan sahaja, seorang
remaja yang cukup komited dengan dakwah tetapi mereka bercinta.
Bayangkan presiden BADAR kat sekolah bercinta. Ya Allah! tak dating, tak
keluar makan-makan, tak berutus surat, tapi saling berbalas mesej
dengan beralasankan “Eh takpe, aku hantar mesej pasal hadith la kat dia.
Saling nasihat menasihati”. Astaghfirullah, itulah contoh-contoh zina
hati. Nama pun hati, mesti la dalam hati. Betul tak?
Komen saya: Tak betul langsung. Saudara,
itu tidak termasuk dalam bab zina hati. Itu gedik dan mengada-ngada
termasuk dalam bab buat perkara-perkara tak berfaedah atau lagha. Saya
lebih suka mengistilahkan percintaan sebegitu sebagai percintaan yang
“poyo”. Percintaan pra-matang remaja baru nak up.
Sabda Nabi s.a.w: “Antara keelokan Islam
seseorang itu, dia meninggalkan apa yang tak patut baginya”.
Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi (4/558, no 2317) dan dia berkata: Gharib.
Juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah (2/1315, no 3976) dan Ibnu Hibban
dalam kitab Sahihnya (1/466, no 229).
16. Sebenarnya, saya ada satu soalan.
Begini, seorang lelaki amat menyayangi seorang perempuan bukan mahram
ini, tetapi dia tidak merinduinya. Adakah ini tergolong dalam zina hati
juga? Sebab saya masih tak berapa jelas dengan maksud zina hati.
Komen saya: Apabila gagal untuk memahami
zina hati dengan baik, kemudian dimomokkan pula dengan fahaman-fahaman
yang salah tentang zina hati, maka diri sendiri mencari jalan keluar
dengan mereka-reka perkara yang tak masuk akal. Seorang kekasih
menyintai kekasihnya, tetapi mereka tidak rindu, adakah ini juga
termasuk dalam zina hati? Ahaha…
Tolonglah fahami maksud zina hati itu
dengan baik, perasaan cinta antara kekasih dengan kekasihnya tidak
dikira zina hati, juga perasaan rindu. Kalaupun perasaan cinta dan rindu
itu melampaui batas, itu tidak termasuk dalam bab zina hati, itu
termasuk dalam bab berlebih-lebih dalam perkara-perkara yang harus. Yang
menjadi zina hati adalah perasaan atau keinginan hati untuk melakukan
dosa zina iaitu bersetubuh dengan kekasih tersebut. Faham!!!
17. Saya takut diri saya terjebak dengan
“zina hati” apabila saya teringat pasal si dia. Biasanya, saya akan
membayangkan saat-saat kami berjumpa, kata-kata dia dan kadang-kadang
saya macam berangan-angan berumah tangga dengan dia. Selalu terbayang
dalam fikiran saya, kehidupan kami sebagai suami isteri contohnya, saya
masak untuk dia, bermesra dengan anak-anak dan sebagainya. Itu memang
selalu saya fikirkan. Adakah itu salah satu dari “zina hati”? Saya juga
tak boleh kawal perasaan rindu setelah kami berjauhan. Perasaan tu la
yang buat saya lalai sedikit sebanyak. Saya cuba tenangkan fikiran saya
dengan solat sunat, baca Al-Quran tapi tu tak kekal lama.
Komen saya: Amboi-amboi, jauhnya akak
berkhayal. Itu bukan zina hati tu kak, itu angau namanya. A N G A U:
Angau. Parah benar nampaknya tu. Walaupun bukan termasuk dalam zina
hati, tetapi eloklah dielakkan perkara-perkara lagho sebegitu, sibukkan
diri dengan perkara-perkara berfaedah, jangan sampai terbuang masa
kerana berkhayal.
18. Saya telah mengambil keputusan
meninggalkan pasangan saya kerana saya tahu ianya sesuatu yang
bertentangan dengan Islam. Dan alhamdulillah saya juga telah mengambil
langkah dengan bernikah dengan seorang gadis melalui cara yang lebih
baik iaitu melalui pernikahan secara Islamik.
Komen saya: Astaghfirullah, bercinta
dengan seorang gadis, kemudian merasakan perkara itu sebagai salah lalu
memutuskan hubungan. Kemudian mengambil langkah penyelesaian dengan
berkahwin dengan gadis lain?
Mengapalah “terlampau cerdik” sampai ke
tahap ini? Kalaupun anda merasakan hubungan anda itu salah dan berdosa,
apa yang anda perlu lakukan adalah bertaubat daripada dosa dan membaiki
dosa tersebut.
Firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah, ayat ke-39.
((فَمَنْ تَابَ مِنْ بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ))
Maksudnya: “Sesiapa yang bertaubat selepas kezaliman yang
dilakukan dan membaiki kesilapannya maka sesungguhnya Allah akan
mengampunkan dosa ke atasnya”.
Seorang pencuri, apabila sedar dan insaf
atas dosa yang dibuat, maka dia perlu bertaubat daripada dosa mencuri
tersebut, dan membaiki dosa tersebut dengan memulangkan kembali segala
barang-barang yang dicuri.
Seorang lelaki yang bercinta dengan
seorang perempuan sehingga terjebak ke dalam perkara-perkara dosa,
apabila sedar dan insaf perlulah bertaubat daripada dosa yang dilakukan,
dan membaiki dosa tersebut. Bagaimana untuk membaiki dosa tersebut?
Iaitulah dengan mengahwini perempuan itu.
Bukannya dengan memutuskan hubungan dan
kemudian berkahwin dengan perempuan lain. Mengapa mahu berkahwin dengan
perempuan lain sedangkan si dia ada dan masih menyimpan cintanya
terhadap kamu?
Adakah pada pandangan anda perempuan itu
tidak layak diperisterikan kerana sudah ternoda? Ooo, kiranya kamu
bersihlah tiada noda? Siapa yang menodainya? Kamu juga. Kononnya nak
mencari yang suci bersih walhal diri sendiri terpalit dengan kekotoran.
Jenis manusia yang tak sedar diri.
19. Ana dulu pun couple gak. Sejak
sekolah sampai dah masuk universiti, dekat nak gred. Tapi apabila ana
sedar apa yang ana buat ni salah, ana terus tinggalkan walhal ana siap
dah fikir, dialah bakal isteri ana, yang akan jadi ibu kepada anak-anak
ana.
Komen saya: Ke’tidak cerdikan’ yang sama
berulang. Anda dah punya niat suci untuk memperisterikannya, kemudian
memutuskan hubungan itu setelah merasakan hubungan itu salah pada
pandangan anda.
Sepatutnya, baikilah apa yang anda
rasakan salah itu dan teruskan niat suci anda untuk memperisterikannya.
Semudah itu pun masih tak faham? Mengapa masih juga mengambil tindakan
yang tak cerdik?
MANHAJ DALAM MEMAHAMI AGAMA
Tidak dinafikan, adakalanya mereka yang
baru menceburkan diri dalam bidang dakwah atau mereka yang baru menemui
jalan keinsafan, mereka mempunyai semangat yang meluap-luap berjuang
untuk Islam. Tapi masalahanya semangat yang meluap-luap tanpa latar
belakang ilmu yang kuat boleh menyebabkan perjuangan yang dibawa itu
merosakkan lebih daripada membaiki.
Semua tak boleh, itu zina, ini zina, itu
haram, ini haram sehingga menyempitkan ajaran Islam yang luas dan
membesar-besarkan perkara lebih daripada skop asalnya.
Walhal manhaj dakwah yang sebenarnya
adalah manhaj berasaskan وسطية /wasatiyyah (pertengahan). Tidak
dinafikan, kalau orang itu dilihat mempermudah-mudahkan urusan agama
maka kita perlu memberikan peringatan keras kepada mereka. Sebaliknya
pula kalau orang itu dilihat terlalu memayah-mayahkan agama maka kita
perlu memudahkannya bagi mereka. Namun, semua itu perlu dilakukan atas
dasar ilmu. Bukan sewenang-wenangnya.
Sebagai contoh, apabila wujud sebahagian
daripada sahabat Nabi mempermudah-mudahkan urusan berwudhuk sehingga
tidak meratakan air ke tempat-tempat yang sepatutnya, maka Nabi
memberikan amaran keras kepada mereka berupa seksaan api neraka.
Sebaliknya apabila ada pula sebahagian
sahabat yang memayah-mayahkan urusan berwudhuk sehingga membasuh anggota
wudhuk secara berlebihan, maka Nabi berkata bahawa basuhan wudhuk itu
hanya tiga kali. Andainya masih wujud keraguan dalam hati tidak rata,
maka usah dilayan, itu hanya was-was syaitan.
Caranya adalah bersikap keras kepada
mereka yang nampak mempermudah-mudahkan agama, dan bermudah-mudah bagi
mereka yang nampak memayah-mayahkan agama. Tetapi perlu diletakkan dalam
kepala bahawa tujuan akhirnya adalah supaya kedua-dua golongan tersebut
kembali kepada kesederhanaan dalam beragama.
Kata Imam Syatibi: Andai kamu melihat
kepada keseluruhan syariat maka engkau akan dapati syariat itu cenderung
kepada pertengahan. Andai kamu melihat ada kecenderungan kepada sisi
terlampau memudahkan atau sisi terlampau menyusahkan maka itu bagi
berhadapan dengan lawannya daripada sisi lain.
Sisi memayahkan (kebanyakannya pada
menakutkan, menggerunkan, melarang) didatangkan bagi berdepan dengan
mereka yang cenderung mempermudahkan agama.
Sisi memudahkan (kebanyakannya pada
pengharapan, galakan, dan rukhsah kemudahan) didatangkan bagi mereka
yang cenderung memayahkan agama.
Kalau tiada masalah pada kedua-duanya
maka aku melihat pertengahan itu lebih utama, dan jalan kesederhanaan
itu jelas, dan itulah kaedah asal yang menjadi rujukan dan pusat yang
menjadi tempat pergantungan”. (Rujuk Kitab Al-Muwafaqat oleh Imam
Syatibi, jilid 2 , m/s 286, cetakan Dar Ibni Affan)
Janganlah terlampau mempermudahkan dan
jangan terlampau menyusahkan. Ambil jalan pertengahan. Untuk pesakit
darah tinggi, berikan ubat yang menurunkan kadar tekanan darahnya kepada
kadar tekanan normal. Pesakit darah rendah pula, berikan ubat yang
meninggikan kadar tekanan darahnya kepada kadar tekanan tahap normal.
Apa yang penting adalah memastikan kenormalan tekanan darahnya.
Akhir kata, semoga segala penjelasan itu
dapat dicerna dengan baik. Andai timbul sebarang persoalan tak faham
lagi berkenaan zina hati, maka bak kata rakan saya: “Sila hantukkan
kepala anda ke dinding”. Hehe sekadar bergurau. Jangan lagi membesarkan
isu lebih daripada skop yang sepatutnya.
Sememangnya muhasabah diri sama ada
terpalit dengan dosa atau tidak itu memang sesuatu yang bagus. Tapi
men’dosa’kan diri dengan perkara yang bukan dosa itu bukan daripada
ajaran agama, itu adalah ta’annut dan tasyaddud yang ditegah dalam
beragama.
Islam tidak datang untuk menjadi musuh
kepada naluri dan perasaan manusia tetapi untuk memberikan pedoman dan
tunjuk ajar supaya manusia dapat mengawal naluri dan perasaannya ke arah
kebaikan. Dengan itu dapatlah kita menjadi manusia yang baik bukan
menjadi malaikat yang baik.
sumber : syahirul.com
Read more...